Cadangan untuk menaikkan had umur perkahwinan perlu dibincangkan dengan lebih teliti dengan badan-badan agama Islam sebelum dibentangkan di Parlimen.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata ini kerana pelbagai perkara perlu diperhalusi sebelum ia dibawa ke peringkat perundangan.

"Cadangan ini perlu dibincangkan dengan badan-badan agama terlebih dahulu seperti Majlis Fatwa sebelum ia dibawa ke Parlimen," kata Dr Wan Azizah.

Beliau berkata demikian ketika diminta respon tentang kemungkinan cadangan menaikkan had umur perkahwinan dibawa ke sesi Dewan Rakyat yang akan bermula pada minggu depan.

Dr Wan Azizah sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan berhasrat untuk membentangkan pindaan menaikkan had umur perkahwinan bagi perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun, tetapi tidak memperincikan akta yang bakal dipinda.

Ini susulan tindakan seorang peraih getah berusia 41 tahun di Kelantan mengahwini seorang kanak-kanak perempuan yang berumur 11 tahun yang difahamkan berasal dari selatan Thailand, baru-baru ini.