KUALA LUMPUR : Pas tetap berpendirian tegas membantah isu pertambahan cabutan khas judi yang ditingkatkan daripada lapan kali sehingga 22 kali setahun bermula 2021.

Ketua Pemuda Pas Malaysia, Khairil Nizam Khirudin berkata, cabutan khas judi atau lebih dikenali sebagai kegiatan agensi nombor ramalan jelas merupakan perkara yang haram di sisi Islam.

“Cabutan khas judi ini bukan jalan penyelesaian terbaik. Judi adalah haram di sisi Islam selain akan menambah lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat.

“Masih ada jalan lain yang boleh digunakan tanpa perlu menambah kekerapan cabutan ini,” katanya menerusi hantarannya di Facebook pada Rabu.

Dalam pada itu, Pas turut berhasrat untuk mengadakan pertemuan bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz bagi membincangkan perkara berkenaan.

Ujar Khairil Nizam, Pas bersedia untuk mengemukakan alternatif lain buat negara dalam menambah pendapatan negara.

“Kami sedia berbincang dengan Menteri Kewangan bagi mencari jalan terbaik menambah pendapatan negara untuk mengekang wabak COVID-19 selain membentangkan solusi bagi mengawal dan mengurangkan aktiviti judi di negara,” katanya lagi.

Pas menegaskan, pihaknya memohon agar kerajaan lebih sensitif berhubung isu berkenaan dan tidak berkompromi mengenai isu yang secara jelas akan menimbulkan masalah sosial.

Pada 28 Disember, portal Malaysia Dateline melaporkan dakwaan Pengarah Strategik DAP, Lew Chin Tong menyatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah meningkatkan kekerapan cabutan khas ramalan nombor empat digit daripada lapan kali pada tahun 2020 kepada 22 kali pada tahun 2021.