Fasa pertama perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT) laluan Sungai Buloh - Kajang (SBK) memulakan operasi secara rasmi hari ini bermula 6 pagi tadi membabitkan 12 stesen.

Bermulanya operasi ini, maka ia melengkapkan sistem pengangkutan awam negara dan meletakkan Malaysia sejajar dengan negara-negara maju yang lain.

Bagi penumpang, mereka teruja atas perkhidmatan terbaharu ini yang begitu moden dan efisien.

“Perkhidmatan MRT ini bagus, dengan ruang yang lebih luas dan selesa, ia menepati jangkaan saya,” kata Mariyana yang menaiki MRT untuk ke tempat kerja dari stesen Kwasa Sentral ke stesen Pusat Bandar Damansara.

GALERI FOTO: Fasa pertama MRT SBK mula beroperasi

GALERI FOTO: PM lancar fasa pertama MRT, perkhidmatan percuma hingga 16 Januari

BACA: PM lancar fasa pertama MRT, perkhidmatan percuma sehingga 16 Januari

Malah tinjauan kami juga mendapati ada di antara pengguna yang mengambil kesempatan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar menaiki MRT sempena musim cuti sekolah.

Antara penumpang awal yang menggunakan perkhidmatan mRT laluan Sungai Buloh-Kajang. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz, dijangkakan perkhidmatan MRT fasa pertama ini akan menerima 160,000 penumpang sehari, bermula Januari depan.

Jangkaan itu dibuat berikutan keadaan akan kembali sibuk apabila orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas tamat musim cuti sekolah.


"Kita sasarkan apabila orang ramai mula pulang selepas cuti sekolah, bilangan penumpang akan mencecah 160,000 orang sehari," katanya ketika ditemui semasa membuat tinjauan hari pertama operasi MRT di laluan SBK.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MRT Rapid Rail Muhammad Isom Azis berkata operasi hari pertama MRT berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Apabila perkhidmatan bermula pada jam 6 pagi, kami menggunakan 12 buah tren dengan jangka masa menunggu selama 6 minit pada waktu bukan puncak. Apabila tiba waktu puncak jam 7 pagi, kita lancarkan 22 buah tren dengan masa kekerapan 3.3 minit," ketika ditemui Astro AWANI di pusat kawalan operasi MRT di depot Sungai Buloh.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mencuba perkhidmatan MRT pada hari pertama ia beroperasi. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Orang ramai berpeluang menikmati tambang perkhidmatan MRT dan bas pengantara percuma selama sebulan sehingga 16 Januari depan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika perasmian, semalam.

Caj hanya akan dikenakan bermula 17 Januari 2017 dengan tambang bermula daripada RM0.80 sehingga RM4.30 sehala.