KUALA LUMPUR:Peningkatan kes COVID-19 dalam negara sememangnya membimbangkan ramai pihak. Bulan ini saja angka penularan kes aktif COVID-19 kembali melonjak kepada empat angka!

Lebih membimbangkan, banyak kluster baharu juga mula muncul terutamanya melibatkan individu yang baru pulang dari Sabah.

Terbaharu, satu ciapan yang dimuat naik Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di akaun rasmi Twitternya menjadi tumpuan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dalam ciapan berkenaan, beliau yang memberi reaksi pada satu topik seolah-olah memberi bayangan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dilaksanakan semula, berikutan peningkatan kes COVID-19 yang semakin meningkat.

“Bagaimana jika kita semua duduk di rumah untuk sementara semula?,” itu yang dinyatakan beliau ketika membalas pernyataan pengikutnya di laman Twitter.



Setakat artikel ini ditulis, muat naik berkenaan mendapat lebih 3,000 retweet dan tanda suka (likes).

Untuk pengetahuan umum, kali terakhir Malaysia mencatat jumlah kes asktif lebih seribu adalah pada Jun lalu.

Namun, ia kembali melonjak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dilaksanakan pada akhir September lalu.

Biarpun, mash belum ada sebarang kenyataan rasmi berhubung ciapan yang dimuat naik beliau, ia sedikit sebanyak membuatkan rakyat Malaysia beranggapan bahawa beliau memberi suatu bayangan.