Ibadah korban bersempena Hari Raya Aidiladha di Sarawak akan diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan keselamatan yang ditetapkan.

Menurut Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, meskipun begitu, Majlis Islam Sarawak (MIS) akan memantau rapat sebarang arahan terkini daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Beliau menambah, ia mengambil kira situasi semasa COVID-19 di negeri itu yang menyaksikan pertambahan sejak kebelakangan ini termasuk kluster-kluster yang masih aktif.

“Kita masih belum mendapat arahan terkini daripada JPBN Sarawak sekiranya terdapat sebarang perubahan mengenai garis panduan keselamatan.

“Ini terutamanya yang melibatkan perhimpunan orang awam. Jadi pihak kita masih lagi mengikut SOP yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan aplikasi Khismat Islam Sarawak (KISWA) di Kuching pada Khamis.


Jelas Abdul Rahman lagi, kerajaan negeri setakat ini kekal dengan keputusan untuk membenarkan aktiviti korban dilaksanakan seperti sedia kala.

Walaupun begitu, aktiviti-aktiviti seperti penyembelihan, pembungkusan dan pengagihan harus menepati syarat seperti yang dikeluarkan oleh Majlis Islam Sarawak.