Pembangunan infrastruktur terus jadi keutamaan kerajaan Sarawak.

Selain bandar, perkampungan tradisi akan dibangunkan dengan kemudahan teknologi digital.

Kawasan kampung di tebingan sungai Sarawak akan berubah wajah menjadi smart city atau bandar pintar.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg berkata kerajaan berusaha membawa prasarana serta kemudahan teknologi seperti 5G di kawasan terbabit.

"Darul Hana akan dilengkapkan kemudahan terkini dalam digital.

"Kita berhasrat Darul Hana menjadi smart city iaitu kawasan pintar. Kita akan cuba membawa 5G ke sini," kata Abang Johari ketika menghadiri Karnival Mensia Marek Darul Hana 2019.

Karnival yang julung kali diadakan itu bertujuan menyemai identiti Darul Hana dan menyatupadukan masyarakat selain memperkasa peranan masjid sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan.

Beliau juga berharap sebuah taman islamik dapat dibina di Darul Hana bagi mencantikkan lagi kawasan perkampungan moden itu.