Isu sistem pengangkutan luar bandar menjadi antara isu perdebatan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin.

ADUN BN Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad berkata, kerajaan Selangor hanya memfokus dan memberi insentif pengangkutan awam di bandar sahaja dan mengabaikan pengguna kawasan luar bandar.

"Kami di luar bandar ni macam mana? Peruntukan itu tidak diberi kepada kami untuk kami merasai sebagaimana orang-orang di bandar merasai, " katanya semasa ditemui selepas persidangan DUN Selangor di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau juga berkata, intensif ini perlu diberi sama adil dan jangan berat sebelah.

"Kenapa ada bas istimewa? Kenapa beri bas percuma kepada orang bandar? Kami di luar bandar terpaksa menunggu dua hingga tiga jam, bas tidak datang-datang. Kami juga ada masalah.

"Sekurang-kurangnya kerajaan negeri Selangor pergi berbincang dengan kerajaan pusat cara untuk mengatasi perkara ini," jelasnya.

Mat Nadzari juga berkata, kerajaan negeri Selangor perlu menundukkan ego dalam berbincang dengan kerajaan pusat mengenai masalah ini demi kesejahteraan semua rakyat negeri Selangor yang tinggal di luar bandar.

"Saya mahukan perancangan terperinci dalam membantu masalah pengangkutan awam ini," katanya.

Terdahulu, beliau ada memaklumkan, beberapa kawasan seperti Bukit Beruntong, Bukit Sentosa, Bandar Baru dan Batang Kali tidak mendapat perkhidmatan bas Smart Selangor seperti kawasan bandar lain.