Polis tidak menolak kemungkinan motif dendam dan geng kongsi gelap menjadi punca seorang pemuda ditembak dalam kejadian di hadapan sebuah apartmen di Taman Inderawasih, Pulau Pinang pada Ahad.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T.Narenasagaran berkata kemungkinan juga ia membabitkan kes perebutan kawasan menjual dadah antara mangsa dan sebuah lagi kumpulan menjual dadah.

Ini kerana, hasil siasatan mendapati mangsa yang bekerja sebagai pemandu jentera angkat susun di sebuah kilang cedera parah ditembak dalam kejadian itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

Susulan itu, polis telah menahan dua lelaki berusia 26 dan 29 tahun yang juga rakan kepada mangsa yang turut berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Kita telah menahan dua orang. Daripada apa yang dimaklumkan tahu ada motif. Dia (mangsa) ini ada rekod dadah. Saya tidak pasti ia perebutan tempat penjualan dadah, perkara ini masih dalam siasatan..," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Narenasegaran berkata lelaki terbabit ditahan semalam dan polis telah mendapat perintah tahanan reman sehingga 9 Oktober ini.

Bagaimanapun, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut dan terperinci termasuk mendapatkan maklumat lanjut daripada mangsa bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan saksi yang melihat insiden tembakan tersebut.

Menurutnya semakan terhadap kereta Proton Waja dan Perodua Myvi yang di gunakan suspek dalam kejadian itu mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu yang didaftarkan ke atas sebuah motosikal.

BACA: 'Penembak di tempat duduk penumpang lepaskan dua tembakan' - Pemuda cedera di perut dan tangan

Dalam pada itu, siasatan juga tidak menolak kemungkinan suspek yang menembak mangsa menggunakan senjata jenis revolver berikutan polis tidak menemui sebarang kelongsong peluru di lokasi kejadian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program ‘Penang Heart Safe with Polis Diraja Malaysia (PDRM)’ dan penyerahan peralatan Defibrilator Luaran Automatik (AED) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, pada Isnin.

Majlis itu di rasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani Pulau Pinang Dr. Afif Bahardin dan turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Asmayani Khalib.

Pada program itu, PDRM Kontijen Pulau Pinang menerima peralatan AED daripada badan bukan kerajaan (NGO), Lions Club of Georgetown Central bagi kegunaan bantuan kecemasan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, pemuda berusia 26 tahun itu cedera di perut dan tangan selepas ditembak lelaki tidak dikenali dalam kejadian di hadapan sebuah apartmen di Taman Inderawasih, Perai.

Ketika kejadian mangsa bersama empat rakan sedang berbual di hadapan kawasan perumahan berkenaan sebelum sebuah kereta jenis Proton Waja melalui kawasan itu dalam keadaan mencurigakan.

Salah seorang rakan mangsa bertindak mengejar kereta berkenaan yang memecut laju.

Mangsa yang menunggang motosikal kemudian membantu rakannya namun secara tiba- tiba sebuah Perodua Myvi memintas dihadapan mangsa sebelum seorang lelaki yang duduk di tempat penumpang hadapan melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa yang mengenai lengan dan perutnya.