Ketua Peguam Bela Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menganggap dakwaan media bahawa anak guamnya mengambil ‘selfie’ sewaktu perbicaraan berlangsung, sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.

Sewaktu berhujah balas di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Muhammad Shafee sambil menyebut nama wartawan terbabit, menegaskan bahawa laporan itu tidak berasas, dan boleh berniat jahat kepada anak guamnya.

Perkataan itu timbul ketika perbicaraan disambung semula selepas rehat 30 minit, apabila Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram memberitahu mahkamah beliau telah membaca laporan beberapa media bahawa Najib melakukan perbuatan demikian.

Namun perkara itu disanggah Muhammad Shafee, yang mendakwa anak guamnya hanya menggunakan telefon pintar itu sebagai ‘cermin’ selepas merasakan ada habuk masuk mata beliau.

“Ini bukan kali pertama (laporan negatif media), ini dah makin melampau. Saya tanya anak guam saya, betulkah beliau mengambil ‘selfie’. Anak guam saya jawab beliau tidak akan sekali-kali melakukan demikian.

“Datuk Seri Najib hanya menggunakan telefon pintar beliau untuk melihat sesuatu yang masuk ke matanya.

“Tapi wartawan yang membuat laporan itu, media lain pun ikut. Kalau mereka (media) mahu dilayan sebagai ‘fourth estate’, jangan berkelakuan seperti orang estet,” tegasnya lagi.

Hakim Mohd Nazlan kemudian meminta Najib memberi penjelasan berhubung perkara itu, dan bekas Perdana Menteri itu menjawab:- “Yang Arif, saya cuma menggunakan telefon saya untuk melihat penampilan diri saya”.

Hakim kemudian menerima penjelasan itu, namun beliau juga peringatan kepada semua bahawa sebarang rakaman tidak dibenarkan sewaktu perbicaraan berlangsung, dan rampasan ke atas telefon mungkin boleh dibuat sekiranya polis mahkamah mengesan perbuatan itu berlaku.

“Saya tak mahu perkara ini mengganggu perbicaraan mahkamah. Panggil saksi seterusnya,” kata Mohd Nazlan.