Tatkala mendengar kleptokrasi buat pertama kali, Tan Sri Rafidah Aziz terkejut apabila membaca definisi sebenar perkataan itu.

Menurut bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengeluarkan kenyataan mengaitkan Malaysia dengan krisis kleptokrasi, beliau mengakui cukup terkesan dengan pengumuman itu.

"Apabila DoJ mula menggelarkan kleptokrasi, saya pun tengok (laman web). Kleptomania itu saya tahulah, itu setakat mencuri.

"Kleptokrasi, saya sifatkan itu satu perkataan baru ni. Saya tengok Wikipedia. Oi mak oi, teruk bunyinya. Ia adalah sebuah kerajaan yang mencuri aset negara untuk kepentingan peribadi.

"Mak oi, dia punya definisi tu berat. Jadi saya kata, ini tidak boleh jadi yang mana kita kena keluarkan negara kita daripada pencemaran imej ini," kata ahli politik veteran itu.

Beliau berkata demikian dalam temubual '100 Hari Malaysia Baharu' yang dihoskan Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron di Astro AWANi di ibu negara, malam tadi.



Tambah Rafidah, beliau berasa sedih tatkala ada segelintir rakyat Malaysia yang malu mengakui lahir dan hidup di negara ini.




"Saya sedih apabila ada orang kata kepada saya bahawa mereka malu mengaku diri daripada Malaysia. Ada yang mengaku daripada Brunei dan Singapura.

"Saya marah kerana yang nak salahkan Malaysia buat apa? Malaysia tak bersalah kerana yang bersalah adalah orang yang mengepalai Malaysia.

"Iaitu orang yang diberi amanah mentadbir Malaysia. Jadi mereka yang buat cabuk atau kacau ini pun membawa imej buruk kepada negara," ujarnya.