Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menegaskan, bilangan umat Islam yang ramai tidak menjamin apa-apa sekiranya gagal untuk bersatu.

Berucap ketika menyampaikan khutbah khas solat Jumaat yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) seiring Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, Dr Zulkifli menggariskan tiga peringatan kepada seluruh umat Islam.

“Pertama, bilangan yang ramai tidak akan menjamin apa-apa andai kita tidak bersatu. Perpaduan adalah kunci utama untuk ummah kembali bangkit.

“Kedua, tamadun sesuatu ummah tidak akan runtuh melainkan dengan masalah-masalah dalaman. Justeru, isu-isu ini perlu diselesaikan, seiring dengan usaha perubahan secara holistik

“Ketiga, perpecahan dan pergaduhan sesama umat Islam hanya akan merugikan kerana kita tidak berhadapan dengan musuh yang kuat, sebaliknya kesatuan kita yang semakin melemah,” ujarnya di hadapan jemaah yang terdiri daripada para delegasi, tetamu, peserta dan wakil media.

Tambahnya, ramuan kejayaan dan kegemilangan ummah dapat dikembalikan dengan mengamati dan mengikut buah fikiran Imam Malik Rahimahullah yang mengajar umat Islam untuk menghubungkan mata rantai ummah dengan kegemilangan nenek moyang mereka.

“Inilah yang wajar dimuhasabahkan bersama dan khatib amat yakin bahawa dengan kehadiran para pemimpin dunia Islam dalam KL Summit ini bakal menjadi pencetus kepada anjakan paradigma perubahan kebangkitan kembali ummah secara keseluruhannya,” katanya.