Krisis menjadikan parti lebih kuat selain dapat menilai tahap semangat sesama ahli ketika menempuh saat-saat getir bersama.

Timbalan presiden PKR, Azmin Ali berkata, ia sekali gus memberi pengajaran dan pembelajaran dalam pengurusan krisis dalaman Pakatan Rakyat (PR) sendiri.

"Kita perlu ada sikap tawadhu’ untuk terima pandangan dan teguran rakan. Tidak ada masalah untuk berbeza pendapat namun kita wajib menyokong keputusan yang dibuat oleh jemaah PR," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Pemuda PKR (AMK) di sini.

Persidangan Kongres AMK diadakan di Dewan Bankuet, Wisma MBSA sementara persidangan Kongres Wanita bertempat di Stadium Malawati.

Lebih 3,000 perwakilan dan pemerhati daripada wakil-wakil di peringkat Cabang, Majlis Pimpinan Negeri (MPN), AMK, Wanita dan angota-angota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menyertai Kongres PKR kali ini.

Kongres PKR ke-10 hari ini dimulakan dengan Kongres AMK dan juga Wanita Keadilan dan akan diikuti oleh Kongres Pimpinan Pusat pada Sabtu dan Ahad.

Dalam pada itu kata Azmin, krisis Menteri Besar Selangor menjadi contoh pengurusan krisis yang mematangkan PKR sendiri.

Jelasnya, landskap politik PKR yang sentiasa patuh kepada setiap keputusan mesyuarat tertinggi disifatkan kesepakatan yang menguatkan parti sendiri.

Azmin turut mengaitkan isu pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari parti sebagai contoh yang harus diteladani.

"Setiap pimpinan dan anggota wajb patuh dan bersama untuk melaksanakan keputusan tersebut.

"Bukan hanya anggota yang perlu taat kepada pemimpin, tetapi pemimpin juga perlu taat dan bertanggungjawab kepada pasukan dan organisasi mereka," jelasnya.

Sementara itu, Azmin mengulang sokongannya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid.

Krisis menteri besar di Selangor berlaku apabila Abdul Khalid enggan berundur meskipun PKR, PAS, dan DAP mencapai kata putus mencalonkan Wan Azizah untuk menggantikannya.

Dalam pada itu, Kongres AMK turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap tragedi nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai lalu.

Seluruh anggota persidangan meluangkan masa seminit pada pukul 11 pagi untuk bertafakur bagi menghormati kepulangan 20 jenazah mangsa nahas.