Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, tajaan lawatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Turki yang dibayar oleh sebuah syarikat loteri, Da Ma Cai tidak berlaku semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, katanya, tujuan lawatan itu adalah baik.

"(Lawatan) ini berlaku sebelum (pentadbiran) Pakatan Harapan. Tujuan lawatan itu adalah baik namun ada sesetengah kritikan terhadap apa yang mereka dilakukan," katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Bangunan Yayasan Al-Bukhary di sini pada Jumaat.

Ahad lalu, sebuah portal berita antarabangsa melaporkan beberapa pegawai tertinggi PDRM termasuk Ketua Polis Negara pergi ke Turki.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kemudian mengesahkan lawatan sambil belajar Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersama pegawai kanan polis ke Turki ditaja oleh syarikat loteri.

Jelasnya, kos perbelanjaan lawatan kerja itu tidak menggunakan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.