Penduduk di Melaka terutamanya yang tinggal di kawasan flat dan pangsapuri cukup terkesan berikutan krisis bekalan air ketika ini.

Ini kerana, penduduk di kawasan yang tidak mempunyai lif terpaksa naik dan turun tangga mengangkut tong berisi air berulang kali sehingga mengalami sakit lutut.

Tinjauan Astro AWANI di Pangsapuri Taman Kota Laksamana Utama yang mempunyai 14 blok bangunan kediaman mendapati, penduduk di kawasan itu menahan derita ketiadaan bekalan air bersih sejak Selasa lalu.

Warga emas, Lo Ee Thiam, 68 tahun berkata, berkata gangguan bekalan air ini memang memberi kesan kepada penduduk di pangsapuri yang tidak mempunyai lif.

Dia yang tinggal berdua bersama isterinya yang juga warga emas, Gan Kim Yok, 65 tahun terpaksa bergilir-gilir mengangkat baldi ke rumah mereka yang berada di tingkat lima.

“Tiap-tiap hari kena angkat air sampai lutut pun sakit. Naik turun, naik turun, lima. Balik kerja tengok tak ada air.

“Mahu cuci baju pun tak berani. Takde notis, langsung tak ada notis (gangguan air),” katanya ketika ditemui.
Ujar pengawal keselamatan itu, dia dan isteri terpaksa menggunakan kudrat masing-masing mengangkut baldi berisi air dari tangki yang dibekalkan dari lori ke kawasan mereka, setiap dua kali sehari, sejak dua hari lalu.

BACA: Gangguan bekalan air di Melaka, ribuan penduduk terjejas

Ini kerana meskipun sudah enam hari kediaman mereka terputus sumber air, bekalan air dari lori tangki Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) hanya mula disalurkan kepada mereka sejak dua hari lalu.


Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menanggung kesakitan seperti sakit lulut dan sakit pinggang serta masalah-masalah lain atas faktor umur.

Menurut laman web rasmi SAMB, Melaka sedang mengalami purata hujan yang rendah dan mengakibatkan paras air di kawasan empangan, kolam tadahan serta Sungai Melaka berada dalam keadaan yang tidak memuaskan.

Keadaan itu mengakibatkan 17 kawasan di ketiga-tiga daerah di negeri itu iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah mengalami gangguan bekalan air.