Seorang lelaki Myanmar maut selepas terjatuh dari Pangsapuri Miharja di Jalan Loke Yew, Cheras, dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Khai Pi, 25, ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam di kawasan tempat letak kereta flat berkenaan selepas mereka terdengar bunyi objek jatuh.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, siasatan awal mendapati mangsa datang ke pangsapuri berkenaan untuk bercuti di rumah rakan senegaranya dan mereka minum minuman keras di sebuah kedai berhampiran.

"Selepas kembali ke rumah, rakan mangsa masuk tidur dan mangsa disyaki memanjat balkoni dari tingkat tiga sebelum terjun ke bawah bangunan.

"Siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang objek atau senjata yang disyaki dan kematiannya tiada unsur-unsur jenayah," katanya ketika dihubungi.

Rakaman percakapan dengan rakan mangsa juga tidak menunjukkan mangsa mengalami masalah kewangan atau gangguan mental.

Mayat mangsa di hantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).