Seorang jemaah masjid terkejut ketika tiba di pekarangan Masjid Pulau Ketam, Tunjang dekat Jitra, awal pagi tadi apabila menemui mayat bayi cukup sifat di hadapan di pintu masjid berkenaan.

Mayat bayi malang itu ditemui dalam bungkusan di tepi pagar masjid oleh salah seorang khariah kira-kira jam 5.30 pagi sebelum bertindak menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.15 pagi oleh pengadu berhubung penemuan bungkusan yang mengandungi mayat bayi berkenaan.

Katanya, hasil soal siasat mendapati bungkusan itu ditemui ketika dia hendak menunaikan solat Subuh di masjid dan pada mulanya dia mengangkat plastik dan meletakkan di tepi pagar masjid.

Mayat bayi yang ditinggalkan di pekarangan Masjid Pulau Ketam, Tunjang dekat Jitra, awal pagi ini.

"Selepas diperiksa pengadu terkejut apabila mendapati bungkusan berbungkus kain batik itu merupakan seorang bayi cukup sifat tetapi sudah mulai kembung dan bengkak," katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Ismail berkata, pihaknya telah menghubungi Hospital Jitra untuk menghantar pegawai perubatan ke tempat kejadian.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bayi malang berkenaan dipercayai telah meninggal dunia kira-kira 24 jam lalu.

"Mayat bayi terbabit di hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya.