Datuk Seri Mustapa Mohamed tiba di pejabatnya pada Rabu untuk memulakan tugas hari pertama selepas dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Beliau yang tiba pada pukul 1 tengah hari disambut bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen.

Ahli Parlimen Jeli itu turut menghadiri mesyuarat ringkas bagi mendapatkan maklumat awal mengenai perkembangan kementerian itu yang dipengerusikan oleh Saiful Anuar.

Difahamkan, majlis penyerahan tugas dan majlis perpisahan Mohamed Azmin akan diadakan kira-kira pukul 2 petang.