Tujuh jenazah wanita warga Indonesia yang maut dalam kemalangan dua bas kilang di Kilometer 147 Lebuhraya Utara Selatan dekat Juru pada Selasa telah selesai dituntut dan dibawa keluar dari Bilik Mayat Hospital Seberang Jaya ( HSJ) pada jam 7.35 malam tadi.

Tujuh jenazah itu dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) menggunakan lima van termasuk dua van yang masing-masing membawa dua jenazah.

Jenazah mangsa akan dibawa pulang ke Indonesia malam ini dan dijangka tiba pada esok (Khamis) bagi tujuan pengebumian.

Ia membabitkan empat mangsa di Sumatera dan setiap satu di Acheh, Jawa Tengah serta Jawa Timur.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, lapan pekerja terbunuh selepas bas dinaiki mereka terlibat kemalangan yang turut mencederakan 44 yang lain.

Mangsa yang terbunuh adalah rakyat Malaysia, Noriah Kasa, 40, dan tujuh warganegara Indonesia, Tumangger Resni, 21,Yeni 20, Serlia, 21, Sartika Pasaribu,19, Wami Windasih, 19, Titik Katinengsih, 23 dan Faridah, 18.