Tutup

Pajakan berbaki 50 tahun: Apa nasib kami? - Penduduk 'Kampung Congo'

Pajakan berbaki 50 tahun: Apa nasib kami? - Penduduk 'Kampung Congo'
Abdul Halim Utar berkata, penduduk setempat mahukan jaminan daripada kerajaan mengenai status tanah tersebut yang majoriti didiami kaum Melayu. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Apa nasib kami?

Demikian keluhan penduduk di Jalan Jujur Bandar Tun Razak, di sini mengenai masa depan generasi ketiga berikutan isu tanah di kawasan tersebut kini berstatus pajakan.

Rata-rata penduduk bimbang sekiranya tempoh pajakan yang ditetapkan kerajaan Persekutuan selama 99 tahun, yang kini berbaki lebih kurang 50 tahun lagi berakhir tanpa sebarang penyelesaian.

Seorang penduduk tetap, Abdul Halim Utar berkata, penduduk setempat mahukan jaminan daripada kerajaan mengenai status tanah tersebut yang majoriti didiami kaum Melayu.
“Jadi, kalau boleh kami mahu kepastian daripada pihak kerajaan atau berkuasa sekarang supaya ada sesuatu yang diusahakan untuk menambah (tempoh pajakan) ataupun kalau boleh memberikan status hak milik kekal.

“Namun, kami tidak tahu apa yang boleh dilaksanakan (kerajaan). Itu yang sangat-sangat diinginkan (penyelesaian) oleh penduduk di sini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Edaran Keperluan Memasak Percuma, di sini, pada Ahad.

Sebelum ini, Bandar Tun Razak dikenali sebagai Kampung Congo. Namun pada 1 Februari 1984, nama kampung berkenaan secara rasmi ditukar.

Lebih membimbangkan, apabila timbul ura-ura bahawa tanah tersebut didakwa bakal diambil alih untuk tujuan pembangunan biarpun tempoh pajakan masih belum berakhir.

“Memang tempoh (pajakan) itu agak lama tetapi sekarang pun ada ura-ura yang mereka mahu menarik balik tanah tersebut. Jadi, itu yang mendatangkan kebimbangan kepada kami sebagai penduduk-penduduk tetap,” kata seorang lagi penduduk, Madiana Jamaludin. 

Mengulas lanjut mengenai kegusaran penduduk, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Bandar Tun Razak, Azman Abidin berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan supaya mempertimbangkan untuk menyambung tempoh pajakan.

Tambahnya, penduduk juga bakal berdepan bayaran premium sekitar RM15,000 jika bertindak menjual rumah yang dimiliki mereka.

“Saya mahu sarankan kepada menteri melalui pejabat Parlimen kita (Bandar Tun Razak) supaya boleh menyambung tempoh pajakan tanpa bayaran.

“Itu boleh dilakukan kerana mereka sudah tinggal di sini, tidak mungkin kita mahu menghalau mereka keluar selepas 99 tahun (tempoh pajakan berakhir),” katanya.

Terdahulu, Azman bersama-sama Kelab Kaki Pancing Serantau mengagihkan 500 bekalan keperluan memasak secara percuma kepada orang ramai di Pasar Pagi Jalan Jujur, di sini.

Ia merupakan inisiatif bersama bagi meringankan beban masyarakat golongan berpendapatan rendah, selain mengeratkan hubungan antara Majlis Perwakilan Penduduk Bandar Tun Razak dengan penduduk setempat.


Tag: Parlimen, Melayu, Kampung Konggo, Bandar Tun Razak, Malaysia Baharu, Hak orang Melayu, Kampung Congo



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.