Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menahan dua kakitangan Polis Diraja Malaysia kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah sebanyak RM10,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap suspek kes dadah.

Menurut sumber, kedua-dua mereka berusia 47 dan 42 tahun masing-masing berpangkat Asisten Superitendan serta sarjan itu ditahan kira-kira pukul 10 malam pada Jumaat.

"Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

"Kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk permohonan reman hari ini.

Majistret Mohamad Shukri Mokhtar membenarkan kedua-dua mereka direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 18 Jun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan itu.