Seorang pelajar tingkatan dua Madrasah Moden Maidam Kampung Lak Lok di sini meninggal dunia selepas dihempap tiang gol pada Jumaat.

Kejadian berlaku di Sekolah Arab Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Padang Landak, Jerteh kira-kira jam 11 pagi tadi.

Mangsa Ahmad Muazz Naimullah Mohd Azhar,14 tahun, meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan lanjut.

Insiden itu dipercayai berlaku selepas pelajar berkenaan dikatakan bergayut pada tiang gol berkenaan sebelum menimpanya.

Susulan itu, mangsa mengangkat tiang gol untuk melepaskan diri daripada tertindih namun selepas beberapa langkah berjalan, pelajar itu telah rebah sebelum dikejarkan ke hospital.

Difahamkan mangsa pergi ke sekolah berkenaan bagi untuk menyertai pertandingan bola sepak.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin berkata, tempoh seminggu diberikan bagi pihak pengurusan mengemukakan laporan penuh.

“Saya masih menunggu laporan awal secara bertulis daripada pengurusan Madrasah Moden dan berita ini telah disampaikan kepada pejabat agama dan kepada pimpinan tertinggi kerjaan negeri dan kita akan minta pengurusan sekolah agar menyiasat kejadian ini secara sebetulnya,” ujar Shafruddin.

Beliau berkata, menerusi laporan yang dikemukakan itu, pihaknya akan menilai dan menangani mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tindakan lanjut.