Mahkamah Sesyen Sibu hari ini menetapkan 2 Oktober depan untuk mendengar semula kes pembunuhan seorang wanita, yang ditemui mati dalam keadaan kaki dan tangannya terikat di Sibu pada 2 Ogos lalu.

Hakim Caroline Bee Majanil menetapkan tarikh tersebut bagi menunggu laporan lengkap kimia dan bedah siasat kes.

Terdahulu, tertuduh dalam kes ini, Philip Uja, 42 tahun, seorang pemandu lori telah dituduh di hadapan Caroline atas tuduhan membunuh dan merogol mangsa, namun tiada pengakuan direkodkan.


Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26 tahun di sebuah bilik tidak bernombor di Jalan Tiong Hua, Sibu di antara jam 8.00 malam 1 Ogos hingga 2.30 petang 2 Ogos lalu.

Pertuduhan kedua pula dibacakan di bawah Seksyen 376(4) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa hingga menyebabkan kematiannya.

Kedua-dua pertuduhan menetapkan hukuman maksimum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Tajul Ariffin Musa.

Pada 2 Ogos lalu, Nurnia Azalea yang juga penjawat awam di Jabatan Pendaftaran Negara ditemui mati di bilik sewanya dalam keadaan tangan dan kakinya terikat.

Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap oleh rakan sekerjanya selepas gagal hadir ke tempat kerja manakala usaha suami mangsa menghubunginya sejak malam sebelumnya juga tiada jawapan.