Seorang Pengarah Pelajaran Negeri Perak di sini menerima surat layang berbaur ugutan bunuh daripada individu tidak dikenali yang mahu seorang pengetua sekolah di negeri ini ditukarkan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan menerima laporan tersebut dan berkata mangsa menerima sepucuk surat menerusi pos di pejabatnya kira-kira 9 pagi hari Khamis, 25 Januari lepas.

“Terdapat laporan yang diterima berkenaan kes ini dan polis masih menjalankan siasatan,” katanya.

Difahamkan, surat layang berbaur ugutan berkenaan diterima oleh Pengarah Pejabat Pelajaran Negeri Perak, Mat Lazim Idris, 60 ketika beliau berada di pejabatnya.

Surat yang dikirim melalui pos itu juga difahamkan diterima tanpa sebarang maklumat pengirim dan mengerahkan agar pengetua sebuah sekolah ditukarkan.

Difahamkan, surat tersebut juga menggesa tindakan segera daripada Pengarah Jabatan Pelajaran Perak sebelum Tahun Baru Cina untuk mengelakkan daripada dirinya diapa-apakan oleh pengirim surat itu.