Kerajaan PAS Kelantan mengakui pembentukan jawatankuasa hudud peringkat nasional seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini amat penting buat kerajaan negeri merealisasikan perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menjelaskan, pihak kerajaan negeri dan jawatankuasa teknikal Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan khasnya menyambut baik pembentukan jawatankuasa berkenaan.

“Jawatankuasa ini penting kerana kita sedar kita nak bawa private bill ini mesti mendapat laluan daripada kerajaan persekutuan. Mereka yang memerintah jadi kita mesti ada satu jawatankuasa yang menyelaras prosedur sahaja untuk bawa ke parlimen,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media majlis pelancaran bolasepak amal Piala Menteri Besar di sini Khamis.

Menurut Ahmad lagi, pihak kerajaan negeri telah menetapkan tahun 2015 sebagai tahun perlaksanaan dan mempunyai masa lagi untuk perbincangan bagi mengemaskini dan memperincikan draf rang undang-undang persendirian itu sebelum dibentangkan di parlimen yang dijangka dapat dilakukan tahun ini.

Katanya apa yang diharapkan oleh kerajaan negeri Kelantan ialah sokongan semua ahli parlimen beragama Islam apabila rang undang-undang persendirian Enakmen Kanun Jenayah Syariah (11) Kelantan ini dibentangkan kelak.