Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyifatkan pengguguran rayuan kes Petronas berkenaan isu cukai jualan minyak dan gas merupakan hadiah terbaik buat warga Bumi Kenyalang.

Abang Johari pada masa sama menegaskan ia merupakan kemenangan manis buat kerajaan Sarawak di bawah kepimpinannya.

Malah kejayaan itu sekali gus membuktikan Sarawak memiliki hak mutlak ke atas hasil minyak dan gas yang dikeluarkan dari negeri ini.

“Alhamdullillah apa yang berlaku semalam merupakan hadiah terbaik buat negeri Sarawak dan ini membuktikan kita mempunyai hak ke atas hasil minyak dan gas negeri ini.

“Dengan ini, kita (negeri Sarawak) akan mempunyai tambahan pendapatan bernilai RM3 bilion ringgit,” katanya.

Sarawak mula mengenakan cukai tambahan lima peratus ke atas semua produk petroleum di negeri ini mulai Januari 2019 di bawah Ordinan Perlombonan Minyak 1958.

Bagaimanapun Petronas enggan membayar cukai tersebut selain mengemukakan permohonan semakan kehakiman.

Pada Isnin, Petronas menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum.

BACA: Petronas tarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi mengenai SST

BACA: Petronas iktiraf hak Sarawak laksana SST ke atas produk petroleum - Hasidah

Kerajaan Sarawak pada masa sama turut menarik balik rayuan balas berhubung isu bidang kuasa mahkamah tinggi mengenai Cukai Jualan Negeri (SST).

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam satu majlis khas bersama Ketua Menteri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di Kuching pada Selasa.