Krisis air yang berlaku di daerah ini, rentetan paip pecah serta tekanan tidak stabil sejak beberapa tahun lalu bakal berakhir dalam tempoh 30 hari.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg membawa khabar gembira itu petang tadi, apabila mengumumkan peruntukan khas RM6.5 juta untuk melaksanakan paip pintasan ketika mengadakan lawatan ke stesen pam penggalak air di Kabong, Sarawak.

Beliau turun padang meninjau sendiri masalah yang dihadapi penduduk Kabong yang sejak Rabu lalu terpaksa bergantung berharap kepada bekalan air lori tangki.

"Krisis yang berpunca daripada tekanan air rendah dan terkini, salur air pecah di kawasan projek Lebuh Raya Pan Borneo telah menjejaskan lebih 20,000 penduduk.

"Untuk tujuan projek pintasan, pihak kontraktor telah diarahkan menyiapkan kerja-kerja pemasangan salur pintas dari salur paip utama Simpang Roban ke Simpang Sungai Nyiar yang meliputi jarak sejauh lima kilometer dalam tempoh sebulan," katanya dalam lawatan di kawasan itu pada Isnin.

Bagi menjayakan sasaran tarikh ini, Ketua Menteri mahu tiga kontraktor dilantik, agar kemudahan air ini dapat dinikmati penduduk yang akan meraikan sambutan Hari Gawai dan Hari Raya Aidilftiri.

"Peruntukan serta-merta ini merupakan alternatif jangka pendek sebagai mengatasi masalah tekanan air rendah yang berlaku sekarang," katanya.

Terdahulu, pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar menyasarkan tempoh dua bulan untuk menyiapkan projek tersebut.

Berkait tekanan air rendah, antara kawasan yang masih terjejas ialah Kampung Hulu Laut, Hulu Tengah, Masjid Lama, Sungai Endot, Kampung Lintang, Sungai Benang, Hilir Laut dan Gerigat.

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar kini sedang melaksanakan operasi penghantaran air kepada penduduk terjejas dengan menggunakan lori dan lori tangki.

Ia dilakukan secara berterusan sehingga keadaan kembali pulih.