Sikap rakyat yang tidak mengamalkan pemakanan sihat menjadi punca kepada pembaziran makanan sepanjang bulan Ramadan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, amalan sedemikian menyumbang kepada pembaziran 8,000 tan atau lapan juta kilogram makanan sehari.

Ia mampu menampung keperluan bagi 5.3 juta orang untuk hidangan tiga kali sehari.

"Kita minta rakyat Malaysia untuk mengamalkan budaya sihat dalam makanan iaitu memilih makanan berasaskan keperluan kalori. Keperluan kalori satu hari lebih kurang 2,000 kalori untuk lelaki dan untuk perempuan 1,800 kalori," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Kempen Makan Secara Sihat Sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Dr Subramaniam menambah, kementerian juga giat menjalankan kempen bagi memupuk budaya pemakanan sihat di kalangan rakyat di negara ini.

Selain mengurangkan risiko pelbagai penyakit katanya, makanan seimbang juga dapat membantu mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal yang kini mencecah berbilion ringgit.