Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor menyelar sikap kerajaan Selangor dalam mengurus isu melibatkan beberapa buah rumah dan unit kedai berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang.

Kata Rizal, perkara tersebut boleh diselesaikan dengan cara berhemah biarpun kerajaan Selangor berhak untuk merobohkan bangunan tersebut.

Katanya, kerja-kerja merobohkan beberapa buah rumah itu boleh ditangguhkan jika pihak berkenaan mendapat arahan daripada Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Sebagai MB, Azmin ada kuasa untuk beri arahan untuk tangguh kerja meroboh sebelum perbicangan dilakukan dan diselesaikan dengan baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rizal kesal dengan insiden tersebut kerana kerajaan Selangor sering berbangga dengan rizab berbilion-bilion ringgit milik mereka.

"Sewaktu ceramah bangga ada rizab berbilion-bilion, tapi nak selesai isu dua buah keluarga pun tak boleh.

"Gerai nasi lemak anak dara cepat saja MB Selangor turun padang beri perhatian," tulis beliau sinis.

Pada 4 Oktober lepas, penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam dan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling (PTP) merobohkan dua rumah serta tiga kedai yang dibina di atas tapak yang dipajakkan kepada Malaysian Airports Holdings Bhd (MAHB).

Rumah dan kedai tersebut sebelum ini didiami bekas ahli jawatankuasa Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Selepas kes itu menjadi isu, kerajaan Selangor membuat keputusan untuk menempatkan dua keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat operasi berkenaan di Pusat Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara.

Menurut Azmin, keputusan itu dibuat susulan perbincangan kerajaan negeri dengan syarikat Perumahan & Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB).