Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RUU tersebut dijangka akan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang, sama ada menteri Datuk Liew Vui Keong atau timbalan menteri Mohamed Hanipa Maidin.

Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga enam tahun diwartakan kerajaan terdahulu pada April tahun ini.

Pada Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, akta itu akan dimansuhkan.

Akta tersebut, menurut sesetengah pihak, bersifat drakonian dan perlu dimansuhkan.

Selain RUU tersebut, Menteri Kewangan akan turut mengemukakan Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018.

Ia susulan pengalihan dan pemindahan peruntukan berdasarkan perubahan serta penubuhan baharu beberapa jabatan dan kementerian di bawah kerajaan Pakatan Harapan pasca Pilihan Raya Umum ke-14.

Bacaan kali kedua dan perbahasan kesemua RUU tersebut dijangka pada 13 Ogos depan.