Sarawak akan melaksanakan undang-undang pengawalseliaan ke atas aktiviti-aktiviti minyak dan gas di negeri itu mulai 1 Julai ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang tidak membenarkan Petronas meneruskan prosiding terhadap kerajaan negeri berhubung hak kawal selia aktiviti huluan minyak dan gas di negeri itu.

Langkah tersebut menurut beliau adalah mengikut undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipatuhi semua pihak.

"Ini bermakna sebahagian kuasa di bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 akan dilaksanakan oleh Petros (Petroleum Sarawak Berhad),"katanya.

Beliau diminta mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut pada Majlis Ramah Ramah Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Nangka di Dewan MUC di sini hari ini.

BACA: Petronas boleh teruskan prosiding di Mahkamah Tinggi - Pakar Undang-Undang

Ketua Hakim Malaya Tan Sri Ahmad Maarop semalam menolak permohonan Petronas untuk memulakan prosiding terhadap kerajaan negeri di Mahkamah Persekutuan dan berpendapat bahawa pengisytiharan yang dicari oleh Petronas tidak termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Persekutuan tetapi di Mahkamah Tinggi.

Petronas telah memohon untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan Sarawak berhubung hak syarikat minyak negara itu untuk mengawal selia aktiviti cari gali dan perlombongan minyak dan gas di negeri berkenaan.

Ditanya sama ada Petronas perlu memohon permit atau kebenaran daripada Sarawak terlebih dahulu untuk terlibat dalam aktiviti minyak dan gas di negeri itu selepas ini, Abang Johari berkata; "Apa yang berlaku sekarang kita mempunyai undang-undang negeri yang pihak Petronas hendaklah patuh."

Beliau berkata Sarawak tidak akan mewujudkan suasana yang sukar atau membuatkan keadaan abnormal kepada perusahaan minyak dan gas di negeri itu dan akan memastikan ia berjalan lancar seperti sedia biasa.

Menurutnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang Sarawak akan membuat penambahbaikan ke atas OMO 1958 berikutan terdapat beberapa perkara dalam ordinan itu tidak lagi sesuai dengan keadaan masa kini termasuk dari sudut terminologi melibatkan istilah 'Chief-Secretary' seperti mana digunakan di bawah kerajaan koloni dahulu dan akan dipinda kepada majlis mesyuarat kerajaan negeri.

-- BERNAMA