Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini melaporkan pertambahan satu kes positif COVID-19 terbaharu di Kuching.

Kes melibatkan seorang lelaki warga Indonesia yang berasal dari Sambas, Kalimantan Barat yang masuk secara sah melalui pintu masuk antarabangsa ICQS Biawak, Lundu pada 27 Julai 2020.

Menurut kenyataan JPBN Sarawak, kes dibawa ke pusat kuarantin di sebuah hotel di Kuching pada 27 Julai 2020 bagi menjalani kuarantin wajib 14 hari.

Kes disahkan positif COVID-19 pada 30 Julai 2020 selepas menjalani ujian saringan pada hari kedua kuarantin dan kini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).


Ini antara lima perkara penting kenyataan dikeluarkan JPBN Sarawak hari ini;

1) Jumlah kes positif COVID-19 di Sarawak setakat ini adalah 678 kes.

2) Setakat ini, 10 kluster COVID-19 dilaporkan masih aktif.

3) Hari ini, lapan kes dilaporkan sembuh dan telah discaj dari Hospital Umum Sarawak (HUS) melibatkan enam jangkitan tempatan dan dua kes luar negara.

4) Jumlah keseluruhan kes postif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini adalah seramai 579 orang atau 85.40 peratus.

5) Lapan kes Person Under Investigation (PUI) baru dilaporkan manakala empat kes masih menunggu ujian makmal.