Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing berharap dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 mampu membawa Sarawak kedepan dari segi perjuangan hak negeri itu.

Menurut beliau, selepas segala kemelut politik yang melanda negara sejak Ahad lepas, negara dapat ditadbir dengan baik seperti yang sepatutnya.

Dalam masa sama, beliau turut mengharapkan kematangan para pemimpin negara untuk melupakan masa lalu dan memberi tumpuan dalam mentadbir negara demi kesejahteraan rakyat.

“Saya berharap beliau (Muhyiddin) tidak meminggirkan Sarawak termasuk beberapa isu antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat petroleum.

"Minta syarikat tersebut bayar kerana Sarawak memerlukan kewangan itu. Hasil tersebut dari sumber kami seperti minyak dan gas.

"Dengan itu (kewangan), Sarawak boleh membangunkan infrastrukturnya,” jelas Masing.

Dalam masa sama, Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menzahirkan ucapan tahniah diatas pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Tambah Masing, beliau percaya dengan pengalaman dimiliki Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu adalah wajar dengan pelantikannya sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian dalam perkongsian rakaman audio bersama wartawan AWANI Sarawak pada Sabtu.