Kerajaan bersetuju membenarkan semua sektor ekonomi yang beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 1, 2 dan 3 untuk meningkatkan kapasiti tanpa sekatan masa, mengikut keperluan industri.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, syarikat yang mendapat kebenaran itu bagaimanapun wajib mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Tegas beliau, kegagalan syarikat terbabit mematuhi SOP akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan dikenakan tindakan undang-undang.

"Kebenaran ini berkuatkuasa bermula esok (29 April). Pihak syarikat yang telah diluluskan untuk beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada MITI untuk mendapatkan kebenaran.

"Inisiatif ini akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik dan luar negara.

"Ini tentunya akan memberi impak positif kepada pendapatan syarikat khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, usaha itu bertujuan membina semula ekonomi yang mampan, berdaya saing selain mengembalikan keyakinan pelabur serta menjamin pekerjaan.

Menurut beliau, keputusan itu hasil penelitian kajian dan cadangan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan, MITI, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Khazanah Nasional.

"Selain itu, pelaksanaan ini juga mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan.

"Sementara kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik perusahaan perlu memulakan normal baharu dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan," ujarnya.