PANDEMIK COVID-19 bukan sahaja sudah meragut ribuan nyawa manusia di atas muka bumi ini, malah ia juga telah meracuni minda orang ramai dengan fakta-fakta yang tidak tepat.

Selain virus COVID-19 yang mampu tersebar dengan sangat pantas dan tanpa kita sedari, virus maklumat palsu atau berita palsu juga mengundang padah.

Dengan dunia yang serba canggih dengan segala maklumat yang boleh kita dapati dengan hanya menggunakan hujung jari sahaja, manusia lebih mudah terpedaya atau percaya dengan perkara yang mungkin tidak benar sama sekali.

Apa yang mungkin pernah disarankan oleh para pakar sebelum ini, mungkin tidak lagi disarankan sekarang.

Jadi, adalah penting jika kita mendapatkan sumber yang paling dipercayai sebelum kita membuat andaian yang mengarut.

Ini antara senarai kepercayaan orang ramai yang langsung tidak benar:

1) Memakai pelitup muka bermakna anda dijamin selamat daripada dijangkiti COVID-19

Jika anda memakai pelitup muka, tidak semestinya anda kebal dan dijamin tidak akan dijangkiti COVID-19. Ini kerana, ia hanya boleh melambatkan penyebaran virus berkenaan.

Memang terdapat beberapa laporan menunjukkan betapa ia berkesan tetapi ia tidak menjamin anda selamat sepenuhnya.

Cara terbaik adalah dengan menjaga langkah kebersihan seperti kerap mencuci tangan, amal penjarakan sosial dan elak daripada menyentuh muka kerana virus itu tidak kelihatan, jadi ia pastinya ada di mana-mana.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya menggesa masyarakat seluruh dunia memakai topeng penutup muka di lokasi yang berisiko tinggi dalam penyebaran COVID-19.

Pekerja dan petugas perubatan atau bagi mereka yang bekerja di tempat ramai orang sahaja disarankan oleh WHO agar memakainya.

Bagaimanapun, kita semua sangat digalakkan untuk memakainya kerana langkah pencegahan awal adalah kunci kejayaan bendung pandemik COVID-19.


2) Anda sudah selamat jika pernah dijangkiti COVID-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada bukti pesakit COVID-19 yang sudah pulih dan mempunyai antibodi dilindungi daripada terkena jangkitan itu buat kali kedua.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM sedia maklum apa yang dilaporkan (WHO) itu dan memang benar tiada bukti mengenai antibodi melindungi daripada terkena jangkitan kali kedua.

Jelasnya, kalau pernah dijangkiti, tidak semestinya tidak boleh dijangkiti lagi kerana antibodi yang terbina itu tidak cukup untuk pertahanan untuk jangkitan kedua dan seterusnya.

“Setiap tiga bulan, kita akan mengkaji antibodi pesakit yang telah discaj daripada hospital dan kalau kita lihat daripada kajian lain, antibodi tersebut mungkin tidak bertahan.

“Iaitu selepas lapan minggu dia semakin berkurangan, dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telahpun mengeluarkan satu kenyataan mengatakan bahawa tiada 'immunity passport'," jelasnya lagi.


3) Virus boleh tersebar melalui bungkusan makanan

Pelbagai nasihat turut diberikan kepada orang awam untuk dipraktikkan antaranya dengan meninggalkan bahan makanan yang baru dibeli di dalam kereta atau luar rumah selama lapan jam sehingga tiga hari.

Ada yang nasihatkan agar semua barang makanan tersebut perlu dinyah cemar menggunakan bahan nyah kuman seperti alkohol dan ‘hand sanitizer’.

Persoalannya, apakah perlu untuk melakukan semua itu terhadap barang makanan yang baru dibeli?

Jawapannya ialah tidak perlu! Tindakan sedemikian adalah keterlaluan kerana mungkin boleh menyebabkan masalah lain seperti keracunan makanan atau keracunan bahan kimia yang digunakan.

Hal ini adalah berdasarkan beberapa fakta dan laporan yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebelum ini berkaitan cara virus ini disebarkan iaitu melalui titisan cecair atau 'droplet' yang terhasil daripada percikan air liur ketika bercakap, batuk atau bersin.

Sehingga kini, tiada sebarang jangkitan yang direkodkan dan tiada bukti ia boleh disebarkan melalui pembungkus makanan, apatah lagi makanan itu sendiri.


4) Haiwan peliharaan kita mampu menyebarkan virus

Memang ada sebilangan kecil haiwan peliharaan dilaporkan positif COVID-19, tetapi risiko haiwan menyebarkan virus kepada manusia dianggap rendah, menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC).

Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebelum ini pernah menjelaskan haiwan peliharaan bukan penyebar virus COVID-19.

Sehubungan itu, masyarakat Malaysia tidak perlu khuatir, malah tidak perlu menjalankan ujian pengesanan virus terhadap haiwan kesayangan mereka.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar berkata jangkitan COVID-19 pada manusia amat tinggi tetapi kes berkaitan haiwan kesayangan adalah terpencil kerana ia didapati tidak boleh dijangkiti secara semula jadi.


5) Hanya golongan tertentu mudah dijangkiti COVID-19

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebelum ini pernah memaklumkan golongan orang tua dan mereka yang mempunyai penyakit kronik adalah berisiko lebih tinggi untuk dijangkiti COVID-19.

Namun, ramai yang memandang ringan tentang bahaya wabak itu terhadap golongan kanak-kanak.

Lebih mudah untuk difahamkan, sesiapa sahaja boleh dijangkiti wabak itu tetapi yang lebih berisiko ialah golongan bayi, kanak-kanak, warga emas dan sesiapa yang mempunyai penyakit serius.

Ia termasuk golongan perokok - analisa Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah kematian akibat COVID-19 terhadap individu merokok lebih tinggi berbanding bukan perokok iaitu 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus.

Justeru, perokok dinasihatkan supaya tidak perlu berlengah lagi, buang tabiat merokok dengan segera, amalkan pemakanan yang sihat demi kesihatan diri sendiri dan orang di sekeliling anda.