Sarawak hari ini mengumumkan kluster tapak pembinaan diisytiharkan tamat setelah tiada kes baru dikesan dalam tempoh 28 hari. Kes terakhir melibatkan kluster ini dilaporkan pada 24 Jun 2020 melibatkan kes ke-570.

Malah kes terakhir ini juga dilaporkan telah discaj dan pulih pada 6 Julai 2020.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, sembilan kes positif terbaharu COVID-19 dilaporkan menjadikan jumlah kes positif di negeri ini meningkat kepada 628 kes.

Kenyataan sama menyebut bahawa kesemua kes terbaharu yang dilaporkan melibatkan daerah Kuching.

Dua kes dilaporkan sebagai kes import melibatkan seorang warga tempatan yang pulang dari Korea Selatan dan tiba di Kuching pada 10 Julai 2020 dan disahkan positif COVID-19 pada 22 Julai 2020.

“Kes import kedua melibatkan warga tempatan yang pulang dari Rusia dan tiba di Kuching pada 6 Julai 2020 dan disahkan positif COVID-19 pada 18 Julai 2020,” tambah kenyataan sama,” tamah kenyataan sama.

Seterusnya empat kes positif terbaharu dikesan menerusi pengesanan kontak rapat kepada kluster-kluster yang aktif di Sarawak.

Satu kes melibatkan kluster Sentosa yang disahkan positif COVID-19 pada 21 Julai 2020 dan tiga lagi kes melibatkan kluster Pasar Stutong dan ketiga-tiga mereka disahkan positif COVID-19 pada 22 Julai 2020.

Kes seterusnya melibatkan ujian saringan secara rawak di mana seorang guru yang tiba di Kuching dari Kota Bahru, Kelantan pada 4 Julai 2020 dan disahkan positif COVID-19 pada 21 Julai 2020.

Selain itu terdapat dua kes yang dikesan menerusi saringan kontak rapat kepada kes ke-587 dan 574, masing-masing disahkan positif pada 18 Julai 2020 dan 5 Julai 2020.

Sarawak masih merekodkan tujuh kluster aktif melibatkan kluster syarikat kejuruteraan (2) kes, kluster Mambong (5), kluster pusat perubatan (5), kluster Jupiter (3), kluster Pasar Stutong (6), kluster Jeti Kuching (2) dan kluster Sentosa (7).