Selepas taktik menyembunyikan ketum dalam kandang kambing sebelum diseludup ke Thailand dibongkar, sindiket kini dipercayai cuba menjadikan pondok kecil di tengah hutan sebagai lokasi transit.

Itu taktik terbaharu dikesan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu selepas menyerbu tiga buah pondok dibuat daripada kayu dan plastik di kawasan tengah Hutan Simpan Sungai Badak dekat Bukit Kayu Hitam.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, lokasi pondok itu terletak hanya 500 meter dari sempadan Thailand.

BACA: Sindiket sembunyi daun ketum dalam kandang kambing tumpas

Katanya, dalam serbuan jam 11 pagi Jumaat itu, anggota polis menemui 1,300 kilogram (kg) daun ketum yang siap dibungkus dalam plastik lutsinar di dalam pondok berkenaan.

Beliau berkata, bagaimanapun anggota sindiket tidak muncul walaupun pasukan polis menunggu selama hampir enam jam di kawasan itu.

"Kawasan itu terletak jauh di dalam hutan. Kereta serta pacuan empat roda juga tidak boleh masuk ke situ. Hanya motosikal saja yang boleh masuk.

"Harga pasaran daun ketum itu di negara ini dianggarkan RM13,000 dan nilainya meningkat berganda apabila dibawa ke negara jiran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zaki Asyar dan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata semua daun ketum berkenaan dibawa ke IPD Kubang Pasu dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Astro AWANI pada 15 Julai lalu melaporkan, taktik sindiket penyeludupan menyembunyikan daun ketum di dalam sebuah kandang kambing di ladang getah terletak berhampiran sempadan Thailand dibongkar Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dalam Op Benteng berhampiran Kampung Wang Kelian di sini, pasukan PGA Batalion 3 Wilayah Utara, berjaya merampas sebanyak 2,667 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM80,010.