Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan menahan sembilan individu dan merampas dadah dianggarkan seberat 8.5 kilogram bernilai RM770,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 21 hingga 40 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di negeri ini dan Selangor pada 22 hingga 25 April lepas.

Beliau berkata pihaknya turut menyita dua kereta dan dua motosikal dengan nilai sitaan berjumlah RM66,500.

"Bagi tangkapan pertama pada 22 April, polis yang membuat rondaan cegah jenayah Op COVID-19 menahan seorang lelaki di kawasan Marina View Villa, Telok Kemang, Port Dickson dan merampas syabu seberat 7.36 gram.

"Susulan tangkapan itu, pada hari berikutnya polis menahan seorang lelaki di kawasan PD Marina, Telok Kemang.

"Lanjutan tangkapan itu, pada hari yang sama, dua lelaki ditahan di sebuah apartment Marina View Villas, Telok Kemang dan polis merampas syabu seberat 52.4 gram," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Faisal berkata berikutan itu, polis sekali lagi menjalankan serbuan pada 24 April di sebuah pangsapuri Nilai Santaria, Nilai dan merampas pil ecstasy dianggarkan seberat 4,095 gram.

"Hasil soal siasat yang dijalankan, pada 25 April polis telah membuat serbuan di sebuah rumah di Bandar Rinching Seksyen 5 Semenyih, Selangor dan menahan empat lelaki serta merampas syabu seberat 450 gram dan eramin 5 seberat 15 gram atau 40 biji.

"Hasil soal siasat kemudiannya membawa kepada serbuan di sebuah kediaman di Menara Simfoni, Seri Kembangan, Selangor dan polis menjumpai pil ecstasy seberat 3,906 gram atau 9,570 biji," katanya.

Faisal berkata hasil ujian saringan air kencing yang telah dijalankan terhadap kesemua tangkapan didapati positif dadah jenis meth dan kesemua mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan narkotik.

"Kesemua suspek kini ditahan reman bagi siasatan lanjut," katanya. - BERNAMA