Sistem e-Hailing yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dilihat mampu memusnahkan industri teksi di Malaysia.

Penasihat dan Pengasas Syarikat Big Blue Capital, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata ia akan berlaku jika penguatkuasaan sistem itu tidak diperincikan secara teliti.

Katanya, sistem itu memberi peluang kepada semua pemandu teksi untuk memulakan operasi perkhidmatan dengan sendiri menggunakan kenderaan masing-masing tanpa perlu menyewa dari mana-mana syarikat.

"Saya beri jaminan, menjelang akhir tahun ini, pemandu teksi akan menyerahkan semula kenderaan kepada syarikat apabila sistem ini dilaksanakan. Syarikat teksi akan tutup," kata Shamsubahrin dalam satu sidang media di sini pada Rabu.

Shamsubahrin turut menggesa SPAD untuk lebih prihatin dan melindungi pelaburan yang telah dilakukan oleh semua syarikat operasi teksi di dalam negara.

Bagi Shamsubahrin, cadangan sistem ini dilihat lebih memberi manfaat kepada perkhidmatan Uber dan Grabcar, dan menyifatkan kewujudan kedua-dua perkhidmatan itu hanya melingkupkan industri teksi.

"Sebelum Uber dan Grabcar wujud, siapa yang menyokong industri ini? Ia adalah mereka seperti syarikat Warisan, Kurnia, Koperasi dan lain-lain yang sudah diberi permit dan melakukan pelaburan, dan SPAD perlu lindungi industri.

"Mereka (SPAD) kata, orang awam lebih menyukai Uber dan Grabcar, ini tidak bermaksud syarikat teksi perlu ditutup," kata Shamsubahrin

Katanya, syarikatnya sudah menyaksikan penurunan jumlah penumpang dengan siginifikan sejak tiga bulan lepas dan 80 peratus daripada pemandu teksi sudah menyerah semula kenderaan kerana tidak mendapat sebarang keuntungan.

Tambahnya lagi, menerusi cadangan e-Hailing itu, SPAD juga perlu menjelaskan apakah langkah yang akan diambil dalam memastikan gaji minimum kepada semua pemandu teksi.

"Pemandu teksi sudah bersedia untuk menyerahkan kembali kenderaan jika Uber dibenarkan, kecuali kerajaan boleh menunjukkan langkah-langkah yang akan melindungi industri ini," kata Shamsubahrin.

Jelas Shamsubahrin, cadangan e-Hailing itu disambut baik jika pihak SPAD boleh menyelesaikan beberapa isu berkaitan, antaranya dengan mengumumkan siapa yang akan bertanggungjawab menjalankan sistem e-Hailing dan pelaksanaanya.

Selain itu, Shamsubahrin mahu SPAD untuk berbincang dengan lebih 50 penggiat industri mengenai e-Hailing sebelum dibentangkan bersama kabinet.

Sebelum ini, dilaporkan Uber dan Grabcar akan diberi kelulusan pada akhir tahun ini dan sudah mendapat sokongan dari Jawatankuasa Ekonomi Khas (SEC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Cadangan sistem E-Hailing oleh SPAD ini dikemukan pada bulan lepas dan dijangka akan dibentangkan kepada kabinet untuk kelulusan menjelang akhir bulan ini.