Solat Jumaat kini dibenarkan di Sarawak bermula hari ini (Jumaat, 22 Mei 2020).

Bagaimanapun ibadah ini haruslah dijalankan mengikut garis panduan baru Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tinjauan di Masjid Kudei Lama di Kuching, hanya 12 orang sahaja dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan ternyata peluang dan kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya oleh jemaah.

Bagi Mohamad Nazzeri Ibrahim yang merupakan bilal masjid itu, kerinduan menunaikan solat secara jemaah kini sudah hampir terubat dengan kelonggaran PKPB ini.

“Alhamdullillah, saya berasa sangat teruja kerana berpeluang menunaikan solat Jumaat secara berjemaah walaupun jumlah jemaah berkurangan daripada biasa,” ujarnya.

Manakala bagi Mohamad Maraji yang merupakan bendahari Masjid Kudei Lama, kelonggaran diberikan oleh kerajaan ini mestilah dimanfaatkan sebaiknya dengan mengamalkan garis panduan digariskan oleh KKM.

“Dahulunya kita tidak perlu memakai pelitup muka juga pensanitasi tangan, tetapi kini suasana berbeza sama sekali.

“Untuk itu kesempatan yang diberikan ini haruslah dimanfaatkan sebaik-baiknya dan janganlah kita sesekali mengabaikan garis panduan ini demi keselamatan semua,” katanya.

Jemaah yang ingin menunaikan solat secara jemaah bagaimanapun perlu mengikuti jadual giliran bagi memastkan semua ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau dapat beribadah.

Malah bagi memastikan keselamatan para jemaah terjamin, masjid dan surau juga perlu disanitasi sebelum dan selepas solat Jumaat disempurnakan selain penyediaan cecair nyahkuman.

Selain itu, maklumat penting seperti nama dan nombor telefon jemaah yang hadir turut direkodkan untuk tujuan rujukan.