Suami atau isteri di Sarawak diberi kebenaran untuk melakukan perjalanan rentas daerah sekiranya ingin melawat pasangan masing-masing.

Bagaimanapun mereka tidak boleh menyalahgunakan kebenaran yang diberikan dengan melakukan lawatan secara kerap.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Khamis.

“Situasi seperti ini akan akan mendapat kebenaran daripada pihak polis dan pihak JPBN Sarawak juga akan memudahkan urusan ini.

“Bagaimanapun saya berharap agar kebenaran ini tidak disalahgunakan oleh warga negeri ini, jangan nanti bila dah beri kebenaran, dua tiga hari selepas itu datang semula memohon kebenaran sama, lain lah kalau ada ramai isteri,” ujarnya.
Sementara itu menerusi sidang media sama, Uggah mengumumkan seramai 429 daripada 7,943 permohonan pergerakan antara daerah di Sarawak tidak diluluskan.

Kesemua permohonan tersebut diterima di 28 buah ibu pejabat polis daerah seluruh negeri.


“Kita perlu akur kepada peraturan yang digariskan terutama melibatkan perjalanan rentas daerah ini dan kebenaran hanya diberikan kepada mereka punya alasan yang kukuh,” tambahnya.

Antara lain jelasnya 2,161 lokasi pemantauan telah dilakukan termasuk di 270 pasaraya, 372 restoran dan 32 kilang seluruh negeri.

Manakala sebanyak 25,583 pemberitahuan sektor ekonomi telah dibuka diterima dan daripada jumlah tersebut, 18,083 menerusi atas talian dan 7,500 melalui email.