Tindakan licik sepasang suami isteri yang disyaki pengedar dadah, dengan menyorokkan bekalan dadah dalam tandas rumah mereka bagi mengaburi mata pihak berkuasa, akhirnya terbongkar.

Pihak polis berjaya menemukan kira-kira 351.50 gram dadah jenis heroin dalam satu serbuan di kediaman pasangan muda itu di Taman Paya Rumput Indah, Melaka awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, serbuan yang dibuat oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka Tengah sekitar 2 pagi Khamis itu hasil daripada maklumat awam.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 22 dan 23 tahun itu pada mulanya enggan memberi kerjasama menyebabkan pihak polis terpaksa memecah masuk kediaman mereka.

Serbuan itu kemudian membawa kepada penemuan sebuah beg yang berisi tujuh paket plastik lutsinar berisi dadah dipercayai jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM8,700 yang disorokkan di bahagian tandas rumah terbabit.

Jelas Afzanizar, mengikut anggaran, dadah terbabit boleh dibekalkan kepada 703 orang penagih yang membabitkan nilai jualan mencecah RM14,000.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai sebuah beg yang disorokkan yang mengandungi tujuh paket lutsinar berisi bahan disyaki heroin dengan anggaran berat 351.50 gram, dianggarkan bernilai RM 8,700,” kata Afzanizar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di IPD Melaka Tengah hari ini.

Dalam serbuan itu, pihak polis turut menyita sebuah kereta jenis Proton Perdana dan motosikal jenis Yamaha LC bernilai RM15,000.

Mengulas lanjut, katanya, pasangan suami isteri itu dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dan suspek lelaki yang juga bekerja sebagai jurukimpal mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan sama.

Pasangan suami isteri itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga 26 Julai ini dan kes disiasat mengikut seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.