Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menafikan calonnya Datuk Dr Badhrulhisham Abd Aziz ditaja oleh Parti Amanah Negara (PAN) untuk memecahkan undi Melayu.

Ketua Penerangannya Mohd Izzul Hafizuddin Mohd Solehuddin berkata, pihaknya mendapati wujud mesej berunsurkan fitnah, yang ditularkan melalui akaun Facebook seorang individu baru-baru ini, dan akhirnya tersebar melalui Whatsapp dan Telegram.

“Berjasa menegaskan sekali lagi, bahawa berjasa tidak mempunyai hubung kait dengan parti PAN apatah lagi menerima dana dari parti tersebut.

“Berjasa amat kesal dengan politik keji yang dimainkan oleh pihak tertentu dalam kempen PRK Tanjung Piai dan ingin menggesa agar semua pihak dapat bertanding secara sihat dengan menolak politik fitnah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Mohd Izzul juga bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian bagi memastikan pengundi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai tidak terpedaya dengan maklumat itu.