Kerajaan Sarawak bercadang untuk menggantikan semua perkhidmatan feri di negeri itu dengan pembinaan jambatan bagi menghubungkan satu kawasan ke kawasan yang lain.

Menteri Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi berkata ia melibatkan kawasan pesisir pantai di Sarawak yang kini bergantung kepada pengangkutan berkenaan.

"Pada masa kini kita menggunakan perkhidmatan feri untuk menghubungkan jalan pesisir pantai yang pada pada hari ini dan ini juga satu cabaran kepada kita.

"Kita bercadang hendak menggantikan semua kemudahan feri ini melalui pembinaan jambatan di kawasan pesisir pantai," katanya ketika Seminar Teknologi Jalan Raya dan Tenaga Kerja Teknikal di sini.

Julaihi berkata kerajaan memerlukan teknologi yang sesuai untuk membangunkan projek mega di Sarawak terutama dalam soal akses jalan raya dan jambatan.

Sepanjang jalan pesisir di Sarawak, pengguna laluan itu perlu melintasi beberapa batang sungai termasuk yang paling besar Sungai Batang Lupar.