Tiada pertambahan kes positif COVID-19 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini (13 Mei 2020), ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ia melibatkan tiga lokaliti PKPD iaitu Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang Baharu dan Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya.

"Untuk makluman semua, laporan COVID-19 di PKPD sehingga 13 Mei 2020 melibatkan tiga lokaliti. Lokaliti yang pertama melibatkan lokaliti Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong KL yang telah tamat tempoh PKPD semalam, di mana tiada pertambahan kes dan jumlah kes positif ialah 197 iaitu 83 luar PKPD dan 120 bukan warganegara dengan 1 kematian.

"Lokaliti Selayang Baharu, tiada pertambahan kes, ia kekal 52 kes melibatkan 36 bukan warganegara," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Manakala, lokaliti Pasar Jalan Othman juga tiada pertambahan kekal 27 kes yang turut melibatkan 2 kes di luar PKPD dan 21 adalah bukan warganegara.


Dalam pada itu, mengenai kluster perhimpunan di Masjid Sri Petaling, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 37, 511 sampel telah diambil dan diuji dengan bilangan kes positif berjumlah 2,348 kes melibatkan lima generasi.

"Ada pertambahan dua kes dari laporan semalam," ujar beliau.

Selain itu, sebanyak 11,546 sampel dari pelajar, guru dan kakitangan sekolah tahfiz telah diambil dan diuji setakat ini.

"Daripada jumlah itu, kes positif 445 iaitu 3.9 peratus," jelasnya.