Sebanyak 427,600 biji pil kuda jenis WY dianggarkan bernilai RM8.55 juta berjaya dirampas polis Pulau Pinang menerusi serbuan di tiga lokasi berasingan negeri itu sejak 19 hingga 24 Ogos lalu.

Dalam serbuan di sekitar Seberang Perai dan Butterworth itu, tujuh lelaki termasuk tiga pelajar kolej berusia 19 hingga 36 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Negeri, Datuk Seri A.Thaiveegan berkata, menerusi serbuan pertama pada 19 Ogos lalu, polis merampas kira-kira 6,000 biji pil kuda dalam sebuah kenderaan di Jalan Bagan Luar sebelum menahan lima suspek.

Katanya hasil siasatan, polis kemudiannya menyerbu sebuah apartment di Bukit Mertajam pada jam 8 pagi 24 Ogos lalu dan merampas 72,000 biji pil kuda yang disimpan di rumah sewa milik seorang daripada lima lelaki yang ditahan.

"Daripada tempat yang kedua kita telah pergi ke satu lagi tempat dimana ia adalah satu apartment dan telah menjumpai lagi banyak pil-pil kuda, jadi daripada operasi ini kita telah secara jumlahnya telah rampas 427, 600 biji pil WY, bernilai RM8.55 juta," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Thaiveegan berkata, tujuh lelaki yang merupakan anggota sindiket pengedaran dadah itu dipercayai membawa masuk semua pil kuda berkenaan dari negara jiran.

Mereka dipercayai menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat transit sebelum menghantar dadah tersebut ke beberapa negeri lain.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan dalang utama sindiket berkenaan dan mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan itu sejak awal tahun ini.

"Siasatan rapi sedang dijalankan untuk mendapat tahu siapakah mereka yang mempunyai hubung kait dengan kegiatan aktiviti dadah mereka, siapakah rakan mereka yang lain, dan sama ada untuk pasaran tempatan atau untuk dieksport," tambahnya.

Menurut Thaiveegan, daripada tujuh tangkapan tersebut, tiga daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Katanya lima lelaki yang ditahan direman sehingga 31 Ogos ini manakala dua lagi direman sehingga 2 September ini.

Kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.