Telekom Malaysia Berhad (TM) menyasarkan untuk menaik taraf perkhidmatan pengguna Streamyx kepada Unifi menjelang Mac tahun hadapan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata perkhidmatan itu sedang dinaik taraf secara berperingkat dengan syarat pengguna berada di dalam kawasan yang mempunyai capaian Unifi.

"Sekiranya pengguna berada di luar kawasan atau tidak mempunyai capaian Unifi, maka alternatif yang ditawarkan ialah menaik taraf kelajuan Streamyx mereka sehingga 8 Mbps atau bakal menerima capaian 4G LTE yang mempunyai tahap capaian yang lebih baik.

"Semua naik taraf ini adalah secara percuma tanpa melibatkan apa-apa kos tambahan," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.


Beliau menjawab soalan Senator Ismail Ibrahim yang ingin tahu langkah kerajaan menangani masalah gangguan Streamyx dan mengimbangi kos yang tinggi oleh pelanggan Streamyx berbanding kapasiti langganan data bagi pengguna luar bandar.

Eddin Syazlee berkata semua langkah ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk mengimbangi kos perkhidmatan 'Streamyx' yang agak tinggi pada ketika ini, sedangkan pada masa yang sama kapasiti lebih tinggi dengan Unifi ditawarkan pada harga lebih rendah.

Menjawab soalan tambahan, beliau berkata buat masa ini kerajaan belum bercadang menurunkan kadar harga Streamyx. -- Bernama