Tujuh lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan samun, berjaya ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sini mulai 12 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Supt Noor Hashim Mohamad berkata kesemua suspek merupakan warga tempatan berusia antara 22 tahun hingga 40 tahun.

"Kejadian dilaporkan oleh mangsa di Balai Polis Nusa Bestari pada pukul 11 pagi, 12 Mei yang mana dia mendakwa dua lelaki menaiki sebuah kereta Myvi telah meluru keluar ke arahnya ketika hendak menutup pintu pagar depan rumah.

Kerana takut melihat suspek dilihat membawa sebatang besi, lelaki itu kemudian melarikan diri ke belakang rumah namun sempat dikejar oleh suspek hingga menyebabkan mangsa terjatuh dan cedera, katanya . dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Beliau berkata suspek kemudiannya mengambil beg duit mangsa dan terus meloloskan diri.

Noor Hashim berkata susulan kejadian dan laporan yang dibuat, polis membuat pemerhatian ke atas sebuah kereta Perodua Myvi disyaki milik suspek yang ditinggalkan di tepi Jalan Hang Kasturi 33, Taman Skudai Baru, kira-kira pukul 1 tengah hari.

Dua jam kemudian, seorang lelaki masuk ke dalam kereta berkenaan diikuti seorang lagi rakannya, sebelum polis mengambil tindakan pantas menahan kedua-duanya serta merampas kereta itu.

"Semakan ke atas pendaftaran kereta mendapati kereta tersebut didaftarkan atas kenderaan jenis Honda Civic manakala semakan nombor casis pula mendapati kereta tersebut pernah dilaporkan hilang di daerah Segamat," katanya.

Noor Hashim berkata hasil soal siasat terhadap kedua-duanya membawa penahanan kepada lima lagi rakan suspek.

Dua daripadanya ditahan di sebuah kawasan perumahan Jalan Makmur, Ulu Tiram di sini kira-kira pukul 5.30 petang pada 19 Mei.

Tiga lagi pula diberkas di sebuah rumah di Jalan Susur Pemuda 7, Segamat, kira-kira pukul 12.05 tengah malam pada 22 Mei.

Semakan rekod jenayah ke atas kesemua suspek mendapati enam daripadanya mempunyai 21 rekod jenayah berkaitan dadah dan tujuh melibatkan samun.

Kesemua suspek juga mengaku terlibat dalam empat kes samun di sekitar daerah Iskandar Puteri dan Johor Bahru sejak awal tahun ini.

Ketujuh-tujuh mereka kini direman selama seminggu bermula 19 hingga 25 Mei bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

--BERNAMA