Seorang tukang rumah dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 20 sebatan di Mahkamah Sesyen Kemaman terhadap dua pertuduhan merogol anak kandungnya sehingga mangsa melahirkan anak dua bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 37 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama dan 18 tahun penjara dan 10 sebatan bagi pertuduhan kedua .

Kedua-kedua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditahan pada 27 Disember tahun lepas.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga bapa kepada tiga anak merogol anak kandungnya yang ketika itu berusia 14 tahun kira-kira jam 12.30 malam hingga 1 pagi di rumah mereka di Kampung Teladas, Ayer Puteh pada 7 hingga 20 April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perkara sama pada waktu dan tempat yang sama pada 1 hingga 20 Jun tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh sebelum ini, mengugut untuk mencederakan mangsa dan memukul isterinya yang berusia 35 tahun bagi mengelak perbuatannya dilaporkan kepada polis.

Bagaimanapun, perbuatan sumbang itu terbongkar apabila penduduk kampung memaklumkan kepada polis selepas tertuduh tidak membenarkan mangsa keluar rumah.