Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal laporan yang menyatakan cadangan pengambilalihan konsesi empat lebuh raya bernilai RM6.2 bilion telah ditangguhkan.

Beliau juga menafikan berita yang mengatakan rancangan itu telah dimulakan tanpa kelulusan Kabinet.

"Kabinet sudah diberitahu mengenai rancangan ini oleh Kementerian Kewangan dan kita tidak katakan tidak. Tetapi hanya tarikh pelaksanaannya sahaja yang akan diputuskan oleh Kabinet," kata kata Tun Mahathir dalam sidang media selepas Persidangan Meja Bulat bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa, yang berlangsung di PICC pada Khamis.

Tun Mahathir mengulas laporan sebuah akhbar yang memetik kenyataan seorang menteri yang tidak dinamakan sebagai berkata rancangan pengambil alihan itu telah ditangguhkan disebabkan berlaku percanggahan pendapat mengenai cadangan tersebut.

Empat lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint Expressway), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Lebuhraya Stormwater Management and Road Tunnel (Terowong SMART).

BACA: 'Saya tak bercadang jadi PM untuk sepenggal, namun ...' - Tun M


"Kementerian Kewangan nampak yakin ia boleh dilaksanakan. Tetapi masalahnya ialah kita tiada wang. Tetapi Kementerian Kewangan kata dengan mengenakan caj pada waktu-waktu puncak, mereka boleh mengumpul dana yang mencukupi untuk membiayai pengambilalihan keempat-empat lebuhraya itu. Kita akan tengok nanti," tambah beliau.