Kerajaan akan campur tangan jika mekanisme harga barangan yang ada ketika ini tidak berfungsi dengan baik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) boleh memainkan peranan menjual keperluan pada harga lebih rendah.

Langkah itu dapat memastikan rakyat tidak terbeban dengan harga yang tidak berpatutan.

"Saya sudah berbincang dengan Menteri Pertanian. Kita lihat di pasar tani mungkin FAMA boleh jual lebih kurang lagi, kita dah bagi peruntukan tambahan kepada FAMA untuk jual terus. Hari Jumaat ini, saya akan pergi pasar FAMA Putrajaya saya nak tengok harga," kata Najib.

Tambah beliau, penstukturan semula ekonomi termasuk rasionalisasi subsidi dan pemberian bantuan terus kepada golongan sasar perlu dilakukan kerajaan untuk melonjakkan ekonomi negara dan bukan bertujuan membebankan rakyat.

"Kalau ada cara kita tolong rakyat kita akan tolong rakyat ini bukan langkah sengaja bebankan rakyat. Kenapa saya nak bebankan rakyat? Kami tahu kami dipilih oleh rakyat, berdiri kerana rakyat. Kalau nak buat pun kerana untuk jangka masa panjang untuk negara dan rakyat. Tak ada lain daripada niat itu." jelas Najib.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Astro AWANI ingin mengumpulkan pandangan pembaca berdepan dengan kenaikan harga barang di negara sekarang.

Hantarkan pandangan anda tentang bagaimana anda dan keluarga berdepan dengan kenaikan kos kehidupan sekarang.